mutakhir

KKM buat individu kuarantin di rumah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Penilaian akan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap individu yang perlu menjalani kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan rumah yang sempit selain perlu berkongsi tandas hanya akan meningkatkan risiko kepada penghuni lain yang positif Covid-19.

Menurutnya, kini KKM membenarkan pesakit tahap satu menjalani kuarantin di rumah memandangkan hospital dan pusat rawatan risiko rendah semakin sesak dengan pertambahan kes baharu.

"KKM akan nilai sebagai contoh jika rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak sesuai jadi kita akan tempatkan pesakit di pusat kuarantin.

"Penilaian yang lebih mantap akan dibuat KKM melalui aplikasi MySejahtera untuk memantau keadaan terkini pesakit yang menjalani kuarantin di rumah," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin meningkat menyebabkan KKM perlu menambah bilangan katil di hospital lain agar mampu menampung pertambahan kes.

"Jika ada majikan yang mempunyai asrama boleh diwarta dan digunakan sebagai pusat kuarantin bagi pekerja yang positif selain menyewa hotel bagi mengurangkan kesesakan di pusat kuarantin dan hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 8:02pm
    d