mutakhir

Polis nafi saman pekerja pasar raya tidak pakai sarung tangan

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Polis menafikan pihaknya mengeluarkan saman seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Presint 8 di sini kerana tidak memakai sarung tangan ketika bertugas seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Mohd Fadzil Ali berkata, individu itu sebenarnya disaman kerana tidak mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, beliau hanya menasihatkan pekerja yang bertugas di kaunter itu menggunakan sarung tangan kerana berurusan dengan ramai pelanggan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Individu terbabit dikenakan saman atas kesalahan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera serta memeriksa suhu badan ketika bertugas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan kononnya seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Presint 8, di sini disaman kerana tidak memakai sarung tangan ketika bertugas.

Dalam klip video berkenaan, Mohd Fadzil dilihat menasihati pekerja itu kerana tidak memakai sarung tangan namun disalah anggap kononnya dikenakan tindakan saman atas kesalahan itu.

Rakaman video dikongsi menerusi Twitter itu turut menarik perhatian Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudian menjelaskan tiada SOP bagi pemakaian sarung tangan.

Ismail Sabri menerusi ciapan ringkas di Twitter berkata: "Tiada SOP pakai glove (sarung tangan).

Klip video yang tular itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen dan mendakwa polis tidak faham SOP dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Fadhil berkata, pihaknya kesal kerana video itu disunting dan disebarkan kepada umum seolah-olah memburukkan kredibiliti polis serta tidak menunjukkan kejadian sebenar.

Katanya, video yang tular itu tidak benar dan polis juga tidak mengeluarkan saman atas kesalahan tidak memakai sarung tangan.

"Pekerja wanita itu disaman RM1,000 pada 17 Januari lalu kerana melanggar SOP PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 4:19pm
    d