mutakhir

Kongsi rezeki beri makanan percuma untuk asnaf [METROTV]

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Kami menawarkan pelbagai makanan secara percuma untuk golongan yang memerlukan seperti asnaf," kata peniaga, Muhammad Amirul Asyraf, 27, ketika ditemui di gerainya di Kabin Yoi Mesra di Batu 4, Port Dickson.

Menurut Muhammad Amirul atau lebih mesra dengan panggilan Yoi, beliau memperkenal jualan makanan pada harga murah ketika mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) April tahun lalu.

"PKP kali ini saya memberikan makanan secara percuma kepada mereka yang memerlukan seperti golongan asnaf bagi berkongsi rezeki kepada mereka yang dalam kesusahan.

"Alhamdulillah, sebaik saya memuat naik dalam media sosial Facebook, semakin ramai hamba Allah yang turut mahu menyumbang bagi meneruskan makanan percuma ini kepada golongan berkenaan," katanya yang menjalankan perniagaan dengan dibantu isterinya, Nor Intan Shafiqah Abd Aziz, 25.

Katanya, selain isteri, ibunya, Nor Alida Ahmad, 48, dan adik turut membantu di gerai.

"Saya memulakan perniagaan ini sejak lapan tahun lalu dan isteri saya yang meneruskan perniagaan ini sambil dibantu ibu dan adik-beradik.

"Dulu saya hanya buat 'Foodtruck' tetapi atas nasihat pihak berwajib, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memberi cadangan berniaga di kawasan ini (tepi pantai) kerana tiada orang berniaga di sini.

"Alhamdulillah, perniagaan nampak maju dan saya membuat kabin untuk memudahkan kerja memasak makanan dilakukan di sini," katanya.

Muhammad Amirul berkata, selagi ada rezeki lebih dan orang yang infaq (menyumbang), selagi itu projek ini (makanan percuma) diteruskan.

"Mereka yang mahu makanan percuma ini boleh minta apa juga menu yang ada di gerai ini dan kepuasannya ialah senyuman mereka, apa yang saya perlukan hanya doa agar perniagaan saya makin maju.

"Musim PKP ini, kami banyak menerima tempahan pelanggan untuk hantaran makanan bermasak dan projek makanan percuma tetap diteruskan kepada mereka.

"Saya tidak ada duit yang banyak hanya gerai ini yang ada, jadi saya fikir apa salahnya berkongsi rezeki yang ada mengikut kemampuan yang saya ada," kata anak kedua daripada enam beradik ini.

Tambahnya, sejak membuat kerja kebajikan ini, perniagaan semakin maju dan setiap masalah dapat diselesaikan dengan mudah.

"Alhamdulillah, isteri dan ibunya tidak membantah hasratnya memberi makanan percuma kepada mereka yang memerlukan malah makin menggalakkan kerana mereka perasan rezeki sekeluarga semakin murah.

"Kalau ada rezeki, kami nak buka sebuah lagi kedai makan di kawasan ini dan kami sedang mencari tapak yang sesuai bagi melebarkan rezeki dan peluang pekerjaan kerana sekarang ramai yang hilang pekerjaan," katanya.

Katanya, dia berniaga setiap hari kecuali hari Isnin bermula jam 12 tengahari sehingga jam tujuh petang dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan makanan boleh datang ke gerainya untuk mengambil makanan secara percuma.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 4:39pm
    d