mutakhir

Solat Jumaat di Masjid Abidin kecoh [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Mahu menunaikan solat Jumaat namun tidak menyedari bahawa jumlah jemaah dikurangkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan berlaku kekecohan di perkarangan Masjid Abidin di sini, hari ini.

Suasana tegang tercetus apabila lebih 70 jemaah tidak dibenarkan memasuki kawasan masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Ia berikutan mereka tidak berpuas hati dan kecewa dengan tindakan jawatankuasa masjid memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, ada antara jemaah yang faham selepas diberi penjelasan jawatankuasa Masjid Abidin yang meminta untuk mendaftarkan diri supaya diberi peluang menunaikan solat Jumaat minggu depan.

Keadaan itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh jawatankuasa masjid itu dengan baik.

Sementara itu, Setiausaha Pengurusan Masjid Abidin, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim berkata, hanya 40 jemaah jemputan tidak termasuk lapan imam dan bilal serta 14 jawatankuasa dibenarkan menunaikan solat jumaat.

Jelasnya, jawatankuasa pengurusan masjid Abidin menggunakan kaedah sama seperti dilaksanakan ketika PKP 1.0 dikuatkuasakan kerajaan Mac tahun lalu.

"Jawatankuasa masjid mengeluarkan surat jemputan kepada jemaah terutama membabitkan ahli kariah.

"Isu ketegangan dan perasaan tidak puas hati hanya dicetuskan jemaah dipercayai bukan kalangan ahli kariah," katanya ketika ditemui di perkarangan masjid Abidin, di sini, hari ini.

Wan Mohd Hazim juga berkata pihaknya akan menggunakan sistem penggiliran dan surat jemputan akan dikeluarkan kepada jemaah yang membuat permohonan.

Sementara itu, tinjauan dilakukan mendapati setiap jemaah yang diundang untuk menunaikan solat Jumaat perlu diperiksa suhu badan dan diwajibkan memakai pelitup muka selain perlu membawa sejadah sendiri.

Tinjauan juga mendapati proses semakan nama dilakukan jawatankuasa di pintu masuk masjid dan hanya mereka yang tersenarai dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 5:21pm
    d