mutakhir

Covid-19: Malaysia, Jepun kukuhkan kerja sama

Oleh Redzuan Muharam

Putrajaya: Malaysia dan Jepun terus mengukuhkan jalinan kerjasama dengan memeterai Pertukaran Nota untuk Penyediaan Peralatan Perubatan dari Jepun ke dalam negara, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu dijalankan secara tele-sidang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mewakili Malaysia manakala Jepun diwakili dutanya di negara ini, Hiroshi Oka.

Bantuan geran kecemasan Jepun itu disalurkan ke Malaysia menerusi Program Pembangunan Sosial dan Ekonomi Jepun dengan membabitkan suntikan dana berjumlah 500 juta yen (RM19.5 juta).

Inisiatif itu ditawarkan kepada Malaysia bagi memperkukuhkan lagi keupayaan pengurusan krisis Covid-19.

"Perjanjian antara Malaysia dan Jepun adalah bukti hubungan bilateral yang kukuh antara kedua buah negara sekalipun dalam waktu krisis," kata Dr Adham dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada Jepun ke atas sokongan berterusan.

Beliau berharap kerja sama bilateral Malaysia dan Jepun dalam bidang kesihatan serta sektor lain terus diperkukuhkan dalam mendepani pandemik bersama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 5:56pm
    d