mutakhir

PKPD di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat hasil analisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran pertambahan kes positif Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, PKPD di kawasan berkenaan akan dilaksanakan sehingga 5 Februari ini bagi membolehkan saringan bertumpu dilakukan.

"Sehingga semalam, KKM melaksanakan 360 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 177 kes positif direkodkan di kawasan berkenaan.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, sehingga semalam seramai 660 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, daripada jumlah itu, 621 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

"Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 228, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakkan fizikal (96), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98)," katanya.

Tambahnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, bekalan makanan masih mencukupi bagi menampung permintaan semasa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 6:08pm
    d