mutakhir

SOP baharu upacara pengebumian di Sarawak [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi upacara pengebumian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Bagi kawasan PKPB iaitu semua bahagian di Sarawak kecuali Sibu, maksimum 50 orang sahaja dibenarkan untuk hadir di rumah si mati manakala di tanah perkuburan pula maksimum 30 orang sahaja dibenarkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi kawasan PKP pula iaitu di bahagian Sibu, hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan hadir.

"Garis panduan SOP upacara pengebumian itu boleh didapati daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)," kata pada sidang media, hari ini.

Selain itu menurutnya, mesyuarat JPBN Sarawak hari ini turut memutuskan kawalan ketat dilaksanakan terhadap semua pergerakan masuk dan keluar dari kawasan hijau.

"Kawalan itu akan diperketatkan oleh pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Sementara itu, majlis sosial dan keramaian di kampung dan rumah panjang adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Langkah tegas itu diambil berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang terus dicatatkan di negeri ini selain peningkatan kematian akibat wabak itu.

"Hari ini, dua kematian dilaporkan membabitkan jangkitan Covid-19 di Sarawak iaitu di Miri dan Sibu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 24 kes.

"Kes positif Covid-19 juga didapati meningkat dengan jumlah tertinggi dicatatkan hari ini dengan 229 kes," katanya.

Beliau berkata, Sibu terus mencatat angka tertinggi dengan 168 kes, Miri (28), Kuching (9), Kanowit (7), Sri Aman (7), Lubok Antu (7), Subis (2) dan Bintulu (1) menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 2,931 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 6:49pm
    d