mutakhir

Bandaraya Alor Setar lengang berikutan PKP

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Suasana di sekitar bandar raya ini lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, hari ini.

Tinjauan di beberapa pasar raya mendapati jumlah pengunjung berkurangan disebabkan patuh kepada arahan yang ditetapkan kerajaan supaya duduk di rumah jika tiada keperluan.

Fatimah Azzahra Ismail, 34, berkata dia keluar untuk membeli barangan keperluan harian dan akan berada di rumah jika tiada urusan di luar sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, dia memahami walaupun sedikit kelonggaran diberikan kerajaan berbanding PKP lalu, namun tidak bermakna orang ramai boleh bebas keluar sesuka hati tanpa tujuan.

"Kalau saja-saja nak keluar tanpa urusan, saya rasa tak perlulah sebab tujuan PKP dilaksanakan adalah untuk mengelak penularan Covid-19 lebih meluas.

"Yang penting pakai pelitup muka dan jaga jarak fizikal serta menggunakan cecair pensanitasi tangan ketika di tempat awam," katanya.

Peniaga kedai makan, Azhar Ibrahim, 50, berkata dia bersyukur kerana mereka dibenarkan berniaga pada PKP kali ini walaupun hanya menjual secara bungkus.

Katanya, walaupun pelanggan yang datang hanya membeli makanan secara bungkus, namun ia dapat mengurangkan penyebaran Covid-19.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Bukhary, di sini, Azawudin Salleh, 72, berkata hanya jemaah yang mempunyai pas sahaja dibenarkan memasuki masjid dengan jumlah kapasiti 50 orang saja.

Katanya, solat Jumaat pada kali ini tidak boleh melebihi 45 minit bermula dari azan Zohor hingga selesai solat, sementara solat fardu pula diselesaikan dalam tempoh 20 minit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 6:49pm
    d