mutakhir

Cari lokasi PKRC baharu di Kelantan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) jika terdapat keperluan berikutan peningkatan kes harian di negeri ini.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Husin berkata, seramai 257 pesakit Covid-19 kini ditempatkan di empat PKRC di Kelantan bagi mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sehingga kini jumlah pesakit kes positif Covid-19 yang mendapatkan rawatan adalah sebanyak 54.7 peratus daripada kapasiti yang ada di PKRC.

"Terdapat empat PKRC iaitu tiga di Kota Bharu membabitkan Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) serta satu di Gua Musang bagi menempatkan pesakit Covid-19.

"Dalam masa sama, kita juga sudah mengenal pasti dewan yang ada dan beberapa tempat yang dirasakan sesuai jika perlu kepada penambahan PKRC.

"Bagaimanapun, seramai 145 pesakit berisiko rendah iaitu kategori 1 dan 2 menjalani kuarantin di rumah di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selepas membuat penilaian terlebih dahulu melalui Covid-19 Assesment Centre (CAC).

"Bagi mereka yang menjalani kuarantin secara HSO, mereka perlu persekitaran yang sesuai seperti tiada kanak-kanak dan warga emas di dalam rumah. Pada masa sama, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaah Covid-19 di PKRC PUTIK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka Ahmad Fathan Mahmood dan Pengarah Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang.

Dr Zaini berkata, pihaknya sentiasa memastikan PKRC menjadi lokasi kuarantin seperti 'rumah' bagi memastikan pesakit mempunyai motivasi tinggi untuk sembuh.

Katanya, pihaknya juga memantau psikologi kakitangan yang bertugas dengan menyediakan bantuan kaunseling jika perlu bagi memastikan mereka tidak berasa tertekan menghadapi situasi, ketika ini.

"Justeru, saya merayu kepada masyarakat agar patuh kepada SOP sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 2:21pm
    d