mutakhir

Sudah lapor 'kerosakan' di Air Terjun Tanjung Batu sejak 2017

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: "Kawasan yang dilaporkan itu memang berlaku kerosakan alam, JAS (Jabatan Alam Sekitar) juga sudah memaklumkan ada ketidakpatuhan Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA) oleh pihak berkaitan," kata Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Ismady Radzuan.

Ismady memberi reaksi itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan kerajaan negeri memaklumkan Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) di Pantai Remis, di sini, masih terpelihara dan langsung tidak terjejas berikutan ia bukan sebahagian daripada tapak kuari di Hutan Simpan Segari Melintang.

Ismady mengakui mungkin berlaku kesilapan mengenai kawasan berkenaan kerana terdapat dua air terjun bersebelahan di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang sebagaimana yang didakwa penduduk setempat.

Bagaimanapun, katanya, kawasan seperti yang dilaporkan itu juga terjejas akibat aktiviti kuari berhampiran hingga menyebabkan landskapnya berubah, malah JAS juga mengenal pasti enam ketidakpatuhan EIA oleh pihak terbabit.

"Untuk mengatakan ia hanya alur air yang muncul selepas hujan adalah tidak munasabah, kerana air di kawasan itu tetap mengalir walaupun ketika musim kering, kawasan berair juga bertingkat.

"Orang kampung memanggil kawasan itu sebagai Tanjung Batu, tetapi ada juga memanggilnya Teluk Sera, di situ ada kekeliruan oleh penggiat alam sekitar dan penduduk kampung, gambar yang tersebar adalah di lokasi yang tak terjejas," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk mengatakan kawasan air terjun berkenaan yang didakwa langsung tidak terjejas itu juga tidak logik kerana mereka mempunyai rekod dan pernah membuat laporan pada 2017 yang menyatakan sudah ada kerosakan berlaku di kawasan itu.

Katanya, mereka juga percaya mungkin masih ada lagi ketidakpatuhan boleh ditemui sekiranya pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan itu.

Semalam Harian Metro melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Mohd Akmal Kamarudin dilaporkan berkata, kawasan yang terjejas itu sebenarnya adalah alur air bermusim yang muncul apabila berlaku hujan terutama ketika hujan lebat sahaja.

Beliau berkata, ia hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 (Blok E) Hutan Simpan Segari Melintang.

Berita berkaitan

Air terjun Tanjung Batu masih terpelihara

Kertas siasatan JAS sedang disiapkan

6 kesalahan dilakukan pengusaha kuari - Tuan Ibrahim

JAS ambil tindakan pihak cemar kawasan Air Terjun Tanjung Batu [METROTV]

SPRM tidak terima laporan aktiviti kuari

Aktiviti di Air Terjun Tanjung Batu dihentikan sementara

'Keindahan Air Terjun Tanjung Batu diancam [METROTV]

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 5:27pm
d