mutakhir

2 minggu PKP hanya bolehkan KKM kendali kes sedia ada [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Belum ada penurunan drastik kes Covid-19 walaupun negara sudah menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bermula 13 Januari lalu.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, ini kerana seperti ditegaskannya terdahulu bahawa PKP dua minggu tidak akan memberi impak yang berkesan.

Menurutnya, tempoh waktu itu hanyalah membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengendalikan kes jangkitan sedia ada.

"Pengawalan penuh adalah sukar kerana mereka yang terjangkit masih boleh bergerak dan meneruskan penularan virus.

"Tambahan lagi dengan beberapa sektor ekonomi penyumbang kepada penularan terus berfungsi seperti biasa.

"Sektor ekonomi ini mestilah mengambil langkah yang lebih proaktif dan tegas bagi memastikan tiada penularan boleh berlaku di dalam tempat kerja. Langkah biokeselamatan amat diperlukan," katanya.

Khamis lalu, kerajaan bersetuju melanjutkan PKP di tujuh negeri yang dijadual tamat pada Selasa ini kepada 4 Februari 2021.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, negeri berkenaan adalah Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Sabah, Melaka, Wilayah Persekutuan (Labuan, Putrajaya, Kuala Lumpur) dan Johor.

"Berdasarkan penilaian risiko KKM masih berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di tujuh negeri yang dikenakan PKP lebih awal sebelum ini.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melanjutkan PKP di tujuh negeri itu yang kita seragamkan penamatannya dengan negeri lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 4:05pm
    d