mutakhir

Covid-19: 3 lagi sekolah rendah di Terengganu diarah tutup [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Terengganu: Tiga lagi sekolah rendah di Terengganu diarah tutup selama tujuh hari, bermula semalam, hingga 31 Januari depan kerana terdapat kakitangan sekolah yang disahkan positif Covid-19.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga, di Kuala Terengganu dan SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik di semua sekolah terbabit.

"Penutupan sementara sekolah-sekolah itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sebelum ini, 12 sekolah di daerah Kuala Terengganu juga diarah tutup iaitu SK Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman, SK Gong Tok Nasek, SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Paloh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 9:56am
    d