mutakhir

PBT diarah tutup taman rekreasi

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Semua agensi terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran terus mengambil tindakan pantas dan tegas dengan menutup taman rekreasi masing-masing.

"Tindakan menaikkan papan tanda larangan dan meletakkan penghadang di semua pintu masuk taman rekreasi yang diuruskan mereka perlu dibuat," kata Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen susulan 17 pengunjung Taman Rekreasi Sungai Udang di sini, dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

Menurutnya, beliau dimaklumkan sebelum itu tiada papan tanda atau penghadang diletakkan di kawasan itu selain pengawal keselamatan juga membenarkan pengunjung masuk beriadah di situ.

"Berikutan itu, jasa baik semua pengawal keselamatan yang menjaga semua taman rekreasi awam di Melaka untuk melarang mana-mana individu memasuki taman rekreasi awam masing-masing sebagai usaha untuk mencegah daripada rakyat melanggar undang-undang atau peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sehubungan itu, semua rakyat Melaka diingatkan tidak beriadah termasuk berjoging dan berbasikal di taman rekreasi Awam," katanya.

Beliau berkata, kebenaran untuk itu hanya di kawasan kejiranan, taman perumahan dan kampung masing-masing dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KMM dan MKN.

Mohd Rafiq berkata, semua rakyat Melaka juga diharap dapat bersabar dan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan ketika PKP 2.0 berkaitan aktiviti sukan dan riadah dalam memastikan usaha memerangi pandemik Covid-19 dapat dijayakan.

Tinjauan hari ini mendapati Taman Rekreasi Sungai Udang sudah ditutup oleh PBT terbabit bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Semalam, dilaporkan seramai 17 individu termasuk sekumpulan penjawat awam masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 kerana berjoging di Hutan Rekreasi Sungai Udang.

Semua individu berusia antara 13 hingga 41 tahun itu dikompaun mengikut Peraturan 10, Perintah Kawalan Pergerakan dan Penyakit Berjangkit 2021.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 1:08pm
    d