mutakhir

Lelaki warga Bangladesh dipenjara, cuba sogok polis di SJR [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Seorang lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan cuba merasuah anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Lunas, Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) dekat sini, Rabu lalu.

Tertuduh Mohammad Mosarof, 30, yang bekerja sebagai buruh binaan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, Mohammad secara rasuah menawarkan suapan wang tunai RM500 kepada Koperal Muhammad Syazwan Ahmad Safiudin yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada 3.30 petang, 20 Januari lalu.

Wang itu adalah sebagai dorongan agar tindakan undang-undang tidak diambil ke atas tertuduh kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Fauzee Azizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Murtazadi kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM12,000 serta tambahan satu tahun penjara lagi jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi rakannya menaiki teksi dari Pulau Pinang ke Lunas, Kedah, sebelum ditahan pada sekatan jalan raya, namun gagal mengemukakan surat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Koperal Muhammad Syazwan kemudian mengarahkan Mohammad keluar teksi sebelum tertuduh cuba menyerahkan wang RM500 kepadanya menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa memberi amaran kepadanya.

Tertuduh kemudian terus cuba memberi wang berkenaan termasuk memegang tangan Koperal Muhammad Syazwan dan meletak wang pada tapak tangan anggota polis terbabit menyebabkan dia ditahan di lokasi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 1:26pm
    d