mutakhir

Polis siasat dakwaan kehilangan barangan kemas milik pesakit Covid-19

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan barang kemas milik seorang pesakit yang meninggal dunia disyaki akibat Covid-19 ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kes terbabit.

"Kita ada terima laporan mengenai perkara itu (kehilangan barang kemas daripada badan pesakit), setakat ini ia masih dalam siasatan," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, juruteknik membuat laporan mengenai kehilangan barang kemas yang didakwa dipakai oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat Covid-19 di HTJ, Ahad lalu.

Menurut laporan polis itu, T Narenthiran, 31, mendakwa ibunya memakai set perhiasan emas ketika dia dan kakaknya membawa ibu mereka ke hospital selepas demam dan sukar bernafas, sebelum disahkan meninggal dunia.

"Semasa saya membawa ibu ke hospital, dia memakai barang kemas iaitu rantai emas berharga RM7,500, subang telinga emas berharga RM1,750, tiga gelang dan sebentuk cincin.

"Namun, ketika saya menuntut mayat ibu pada hari berikutnya, pihak hospital menyerahkan borang harta benda pesakit dan hanya sebentuk cincin emas berada dalam senarai borang itu, manakala barang kemas tidak ada," katanya.

Narenthiran mengesyaki ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil barangan kemas berkenaan dan mendakwa keluarga mereka kerugian kira-kira RM9,250 atas kehilangan barang kemas berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 5:19pm
    d