mutakhir

Sanitasi 3 pintu masuk negara

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan menjalankan proses sanitasi membabitkan tiga pintu masuk ke Malaysia di negeri ini secara berkala mulai esok.

Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata, tiga pintu utama itu membabitkan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KKIK) di Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah dan Lapangan Terbang Antabangsa Senai (LTAS).

Katanya, proses sanitasi itu membabitkan bahagian bangunan yang digunakan.

"Berhubung cadangan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, JBPM Johor akan memulakan proses sanitasi bermula esok di LTAS sebelum diikuti KSAB pada Jumaat dan KKIK minggu depan.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan kerajaan mulai 13 Januari lalu, sebanyak 230 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi bangunan kerajaan, sekolah, bangunan swasta dan kawasan awam.

"Jumlah keseluruhan operasi sanitasi sepanjang PKP tahun lalu dan PKP kali ini adalah sebanyak 2,575 operasi di pelbagai lokasi seluruh Johor," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan operasi sanitasi secara bersepadu dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Pasar Borong Pandan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JBPM Johor memerlukan 32 bot kecil dan ringan bagi penugasan khususnya banjir berikutan setakat ini pihaknya mempunyai 34 bot aluminium bersaiz besar, namun berdepan kesukaran apabila memasuki kawasan kediaman.

Katanya, pihaknya akan membuat permohonan itu kepada Ibu Pejabat JBPM bagi membolehkan setiap 32 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot bersaiz kecil.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 1:54pm
    d