mutakhir

Sudahlah hilang kerja malah dijangkiti Covid-19

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bukan setakat hilang mata pencarian selepas diberhentikan kerja pada Julai lalu namun Zulaikha Zairul Albar turut diuji dengan penyakit Covid-19.

Selepas disahkan menghidap Covid-19, Zulaikha, 30, menjalani kuarantin kendiri di rumah tanpa pengawasan sesiapa kerana suaminya, Muhamad Izzudin Jalaludin, 30, bertugas sebagai jurutera teknologi maklumat (IT) di Singapura manakala keluarganya menetap di kawasan perumahan lain di Johor Bahru, Johor.

Menceritakan pengalamannya, Zulaikha yang menetap di Taman Bukit Indah, Johor Bahru berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai guru di sebuah pusat bahasa swasta namun diberhentikan kerana tiada kemasukan pelajar yang kesemuanya berasal dari Korea Selatan.

Demi kelangsungan hidup, Zulaikha yang turut menghidap sistemik lupus eritematosus (SLE) menjadi tutor matapelajaran bahasa Inggeris sementara mendapat pekerjaan tetap.

"Namun keluarga seorang daripada murid saya positif Covid-19, saya kemudiannya mengambil inisiatif menjalankan ujian saringan pada 1 Januari lalu.

"Keputusan ujian itu negatif tetapi saya mengambil langkah menjalani kuarantin di rumah sehingga hari ke 10," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia hanya keluar rumah pada 11 dan 12 Januari lalu untuk bertemu adik ipar serta keluarga mentua.

"Pada 14 dan 15 Januari, saya menghidap demam sebelum menjalani ujian saringan kedua pada 16 Januari. Saya terkejut apabila disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian," katanya.

Menurut Zulaikha, sejak disahkan positif sehingga kini, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghubunginya untuk mengetahui keadaan kesihatannya.

Namun dia belum dibawa ke mana-mana Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), sebaliknya hanya menjalani kuarantin di rumah walaupun ada menghubungi panggilan kecemasan untuk meminta ambulans menjemputnya kerana mengalami demam serta sakit dada, malam kelmarin.

"Setiap hari, pegawai KKM menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan terkini namun hanya setakat itu saja kerana saya difahamkan, ambulans sedia ada hanya untuk kegunaan kes kecemasan berat seperti kemalangan.

"Mereka minta saya ke sana (CAC) namun saya tidak larat untuk memandu, jadi bertahan saja di rumah.

"Alhamdulillah, suami prihatin dan setiap hari kami berhubung menerusi panggilan video untuk bertanya khabar.

"Suami ada luahkan untuk berhenti kerja dan pulang ke sini namun saya tidak galakkan kerana saya sudah hilang pekerjaan, saya tidak mahu dia terima nasib sama. Lagipun, kos kuarantin perlu ditanggung sendiri dan bukan senang mendapat kerja baru dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Zulaikha berkata, dia reda dan berdoa kepada Allah SWT supaya segera sembuh.

"Keluarga risaukan keadaan saya namun saya sentiasa berdoa supaya dijauhi daripada perkara tidak diingini.

"Hanya kepada Allah SWT saya berserah dan diharap, pesakit lain yang senasib terus tabah dan marilah kita sama-sama berdoa supaya pandemik Covid-19 segera berakhir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 3:04pm
    d