mutakhir

Pergerakan pedati perak di Pulau Pinang dapat kebenaran MKN [METROTV]

Oleh BERNAMA

Georgetown: Pergerakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak dilakukan awal pagi hari ini, sempena sambutan Thaipusam dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk sampai ke Kuil Nattukottai Chettiar, di Jalan Air Terjun, di sini.

Pedati itu bergerak dari Kuil Kovil Veedu, Lebuh Penang, di sini pada 3.30 pagi dengan ditarik dua ekor lembu.

Pemegang amanah kuil Nattukottai Chettiar, Dr A Narayanan berkata, pihaknya mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melakukan pergerakan itu dengan mematuhi SOP ditetapkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Kami membuat permohonan kepada MKN untuk membawa pedati perak ini dan dibenarkan, pihak polis mengawal sepanjang perjalanan dan laluannya lebih dekat iaitu hanya 7 kilometer (km) berbanding 9km sebelum ini.

"Laluan pedati ditetapkan polis dan kami mengikut semua SOP ditetapkan termasuk (pedati) tidak berhenti di mana-mana, sebalik terus ke Kuil Nattukottai Chettiar sahaja, bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19," katanya kepada pemberita, hari ini.

Pedati seberat tujuh tan itu tiba di Kuil Nattukottai Chettiar pada 5.45 pagi, berbeza dengan lebih dari lima jam pada tahun sebelumnya iaitu ketika beribu-ribu penganut Hindu berbaris di sepanjang laluannya untuk berdoa dan memecahkan kelapa.

Kali ini, hanya 10 orang kebanyakannya pegawai kuil, dibenarkan mengiringi pedati itu manakala anggota polis yang menaiki motosikal menyertai konvoi kereta di belakangnya.

Pedati itu akan kembali ke Lebuh Penang pada Jumaat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 3:49pm
    d