mutakhir

Ibu mengandung, menyusukan anak perlu diutamakan sebagai penerima vaksin

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ibu mengandung dan menyusukan anak juga perlu diberi keutamaan pengambilan vaksin Covid-19 apabila vaksin itu mula diagihkan kepada rakyat negara ini.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Mohd Nazri Mohd Daud, berkata golongan itu antara empat kategori individu perlu diberi keutamaan mendapatkan vaksin berkenaan.

Katanya, tiga golongan lagi yang perlu diberi keutamaan seperti dijelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah petugas barisan hadapan, warga tua dan individu mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis.

"Satu golongan lagi ialah mereka yang memerlukan lebih perlindungan seperti ibu mengandung atau ibu yang menyusukan anak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan topik Vaksin Covid-19 dalam Siri Pendidikan dan Kesihatan Covid-19 yang disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook UMS.Official dan saluran YouTube UMS.Net, di sini.

KKM sebelum ini menjelaskan peringkat awal pemberian vaksin akan ditumpukan kepada golongan barisan hadapan yang terbabit dalam tugas mengendalikan pesakit Covid-19, disusuli warga tua dan mereka yang mengidap penyakit kronik.

Sementara itu, Dr Mohd Nazri, berkata individu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 apabila vaksin itu mula disuntik kepada rakyat negara ini nanti masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

"Vaksin disuntik adalah bagi mengaktifkan sistem imuniti dalam badan untuk melawan atau mencegah penyakit, sekali gus mampu membendung penularan penyakit.

"Walaupun data ujian klinikal menyatakan hampir 95 peratus keberkesanan vaksin terhadap virus Covid-19, namun adalah lebih baik SOP terus dipatuhi.

"Ini kerana virus Covid-19 adalah sesuatu yang baharu dan kompleks, selain masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan," katanya.

Menurutnya, masyarakat terutama golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 amat digalakkan untuk mengambil vaksin apabila vaksin itu boleh didapati di negara ini.

Sebelum ini, KKM menerusi kenyataannya berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, menyatakan pemberian vaksin COVID-19 di negara ini dijadual bermula Mac depan dalam tiga fasa iaitu barisan hadapan, kumpulan rentan dan orang awam berumur 18 tahun ke atas.

KKM turut menjelaskan pemberian vaksin COVID-29 akan berjalan sepanjang tahun ini untuk memenuhi sasaran 70 peratus populasi Malaysia menerima vaksin berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 5:19pm
    d