mutakhir

473 dikompaun, 33 direman ingkar SOP

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 506 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 473 dikompaun manakala 33 lagi direman.

Beliau berkata, ia membabitkan tidak memakai pelitup muka (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (84), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (77), tiada penjarakan fizikal (76), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (66) dan lain-lain (91).

"Berkaitan Ops Benteng, 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap, lapan kenderaan darat dirampas manakala 82 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

"Seramai 111,239 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 April tahun lalu.

"Semalam (kelmarin), seramai 959 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan semuanya dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai 225,950 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 9,132 majikan dan 876 klinik.

"Daripada jumlah itu, 4,386 orang disahkan positif Covid-19 manakala 221,564 lagi negatif.

"Semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 7,541 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 153 orang disahkan positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 5:48pm
    d