mutakhir

Tidak halang pengurusan kondominium jalankan ujian calitan Covid-19

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menetapkan polisi kepada sesiapa yang ingin masuk ke dalam kondominium atau mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat ujian calitan terlebih dahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan membuat peraturan menjalankan ujian calitan Covid-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka.

"Semuanya terpulang kepada pihak pengurusan kondominium atau mana-mana kawasan perumahan untuk menjalankan ujian itu atau tidak.

"Saya dapati banyak pihak yang salah faham termasuk ahli politik yang cuba memanipulasi jawapan saya.

"Ingin saya jelaskan dengan lebih lanjut, sebenarnya ia adalah berkaitan penyewa warga asing dan bukannya rakyat tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kondominium dan apartmen tertutup adalah kawasan 'privasi' yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

"Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat masuk ke kawasan kondominium mereka tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

"Di Sarawak misalnya, ada kawasan rumah panjang yang tidak membenarkan orang luar memasuki rumah-rumah panjang bagi menjaga keselamatan penduduk," katanya.

Ismail Sabri turut menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di beberapa negeri yang bertitah mengenai prosedur operasi standard (SOP) masjid dan jumlah jemaah yang dibenarkan.

"Ini selaras dengan kenyataan yang pernah saya keluarkan dahulu bahawa perihal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.

"Titah Tuanku Sultan-Sultan ini juga jelas menunjukkan keprihatinan Baginda yang mengambil berat terhadap kesihatan dan nyawa rakyat. Maka, saya berharap semua pihak menjunjung kasih titah Tuanku Sultan- Sultan dan tidak lagi mempertikaikan SOP masjid,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 6:18pm
    d