mutakhir

KKM jalankan latihan penghantaran vaksin Covid-19 ke pedalaman

Oleh Erika George

Belaga: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan sesi latihan dry run penghantaran vaksin Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga, di sini, hari ini, bagi menilai keupayaan pelaksanaan vaksinasi di pedalaman negara.

Timbalan Menteri Kesihatan 2 Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia juga penting sebagai persediaan sebelum menghadapi situasi sebenar apabila menerima vaksin dibangunkan Pfizer-BioNTech dari pembekal di Belgium dan proses penghantaran vaksin itu ke pusat vaksinasi seluruh negara ini.

"Sebagaimana yang semua maklum, vaksin Pfizer (Pfizer-BioNTech) ini memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, -75 darjah celsius (+/-15 darjah celsius) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin itu nanti," katanya pada sidang media sejurus selesai latihan penghantaran vaksin itu di Klinik Kesihatan Belaga, hari ini.

Aaron berkata, latihan itu membolehkan KKM melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra vaksin itu terjamin sepanjang tempoh penghantaran.

"Selain itu, ia dapat menilai kebolehlaksanaan proses tertentu dalam pengendalian vaksin Covid-19 di seluruh Malaysia dan draf Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang dibangunkan KKM," katanya.

Beliau juga yakin KKM dapat menimba pengalaman melalui latihan hari ini untuk mengendalikan thermal shipper , membuat penilaian suhu penyimpanan, vaksin dipindahkan ke tempat penyimpanan (top loading refrigerator) dan pemulangan thermal shipper kepada pembekal.

"KKM akan menilai aktiviti yang dijalankan pada hari ini dan mengenal pasti sebarang kelemahan yang boleh diperbaiki untuk memastikan pelaksanaan imunisasi Covid-19 negara berjalan lancar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 10:00pm
    d