mutakhir

Seorang anggota bomba Terengganu positif Covid-19

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Hanya seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu disahkan positif Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara.

Pengarah JBPM Terengganu Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh itu disahkan positif selepas mendapat jangkitan daripada luar pada Januari lalu.

"Kes yang dilaporkan positif ini bukan berlaku di dalam balai atau ketika mereka melakukan operasi sebaliknya kes positif itu adalah jangkitan daripada isterinya.

"Apabila berlaku kes itu, anggota terbabit dan kontak rapatnya di balai menjalani ujian saringan serta di kuarantin dan ketika ini kesemua mereka sudah kembali bertugas seperti biasa.

"Bermula daripada gelombang pertama hingga ketiga hari ini, hanya satu kes sahaja membabitkan anggota yang positif, manakala ketika ini seorang anggota BBP Kijal pula dikuarantin kerana menjadi individu dalam pengawasan (PUS).

"Kita banyak terbabit dalam proses sanitasi dan memindahkan pesakit Covid-19, jadi kita memang menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) di semua kenderaan JBPM sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 selain melindungi anggota dan mangsa daripada dijangkiti wabak berkenaan," katanya.

Md Hilman berkata, pihaknya turut membantu memindahkan seramai 130 individu terdiri daripada mereka yang positif, individu dalam pengawasan (PUS) dan pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 97 orang dipindahkan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), manakala 33 orang lagi menggunakan bas ke pusat kuarantin.

"Kebanyakan bantuan pemindahan berkenaan itu berlaku di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

"Sepanjang bulan ini juga, kita turut melaksanakan tiga bantuan pengebumian membabitkan pesakit Covid-19 iaitu satu di Besut dan dua di Kuala Terengganu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 30, 2021 @ 3:28pm
    d