mutakhir

Sesak di pintu masuk Malaysia-Singapura [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Langkah Singapura mengetatkan prosedur dengan mewajibkan Ujian Rapid Antigen (RTK) menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura, sejak minggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan hampir 100,000 kilogram sayuran segar lewat dihantar ke republik itu apabila lori kargo terpaksa menunggu lebih lima jam dalam kesesakan teruk.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada ahli berikutan bekalan sayur segar yang tiba lewat ke pasaran republik berkenaan dibimbangi menjejaskan jualan bekalan berkenaan.

Katanya, hampir 100 lori membawa sayuran segar akan memasuki Singapura dari Malaysia dengan kesemuanya perlu bertolak antara jam 3 atau 4 pagi setiap hari untuk tiba antara jam 6 hingga 7 pagi di republik itu.

"Namun apabila Singapura mula mengetatkan prosedur memasuki republik itu dengan mewajibkan ujian RTK, kebanyakan bekalan sayuran segar kini tersasar daripada jadual untuk dijual di pasar dan pasar raya republik berkenaan.

"Jika sebelum ini proses lori kargo sayuran memasuki Singapura hanya mengambil masa antara dua setengah hingga tiga jam sahaja namun kini sudah bertambah kepada lima jam akibat kesesakan di pintu masuk.

"Kini lori kargo membawa sayuran ahli terpaksa bertolak selewat-lewatnya jam 12 tengah malam setiap hari bagi membolehkan bekalan sayur tiba antara jam 5 hingga 7 pagi di Singapura, " katanya ketika dihubungi.

Sejak minggu lalu, pemandu lori dari Malaysia yang membawa muatan keperluan asas ke Singapura dilaporkan berdepan kesesakan teruk di sempadan sehingga ada masanya mencecah 10 jam.

Ia bukan sahaja menimbulkan masalah kepada pemandu yang tidak mempunyai akses kepada makanan, minuman dan tandas awam, selain terpaksa menunggu lama untuk proses pelepasan.

Malah ribuan ayam hidup dilaporkan mati minggu lalu dipercayai akibat kepanasan dan berada keadaan sesak terlalu lama.

Sejak 22 Januari lalu, Singapura mewajibkan kesemua pemandu lori kargo dan pengiringnya yang memasuki republik itu, untuk menjalankan ujian RTK di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI), langkah baharu di sempadan itu bertujuan menguruskan kenaikan risiko terhadap kes import Covid-19.

Sementara itu, tinjauan di Tambak Johor hari ini mendapati kesesakan sejauh hampir dua kilometer dengan hampir semua lori kargo tidak bergerak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 3:00pm
    d