mutakhir

Disatukan secara 'online' selepas enam bulan menunggu [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Hampir enam bulan menunggu untuk disatukan dan akhirnya kami reda dengan majlis akad nikah 'online' walaupun perancangan keluarga sebaliknya," kata pengantin perempuan, Nurul Nuha Mohd Zubir.

Nurul Nuha, 26, dan pasangannya Mohammad Iqbal Saufi Abd Halim, 28, melangsungkan majlis akad nikah secara virtual di kediamannya di Meru, Klang bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Nurul Nuha, keluarga kedua-dua pihak akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi mengekang penularan Covid-19.

"Sebenarnya tarikh awal dipilih pada bulan Ogos tahun lalu namun pihak keluarga berbincang dan memilih untuk menunggu pandemik ini reda.

"Kami jangkakan pada akhir Disember tetapi melihat kepada peningkatan kes Covid-19, keluarga akhirnya bersetuju untuk mengutamakan perkara wajib terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, ketika majlis akad nikah dirumahnya, Mohammad Iqbal Saufi hanya ditemani ibu dan bapanya bagi mewakili pihak pengantin lelaki yang juga tinggal di daerah Klang.

"Kami tidak mahu menangguhkannya lagi, ujian saringan HIV juga sudah dibuat dua kali kerana tarikh luput. Persiapan juga sudah siap lama dan mujur setakat ini kami tidak menanggung sebarang kerugian," katanya.

Katanya, SOP akad nikah secara sidang video itu dipantau dan dibimbing oleh Jurunikah Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang, Mohammad Farid Ahmad secara dalam talian.

"Semua perancangan dibuat pada saat akhir kerana kami mengetahui SOP akad nikah 'online' itu pada Isnin dan Jumaat pula tarikh nikah yang dipilih. Saya bersyukur semua perancangan akhirnya dipermudahkan walaupun banyak halangan dilalui dalam menjadikan hubungan kami halal," katanya.

Terdahulu, Jais mengeluarkan kenyataan sepanjang tempoh PKP bermula 13 Januari lalu, pelaksanaan majlis akad nikah adalah secara virtual atau sidang video sahaja bagi bakal pengantin yang ingin melangsungkan pernikahan di Selangor.

Majlis akad nikah hanya dibenarkan kepada pasangan yang mendapat kebenaran berkahwin dan diberi tarikh temu janji daripada Jais.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 8:37pm
    d