mutakhir

'Maklumkan dulu sejarah penyakit' - Penerima vaksin Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bakal penerima vaksin Covid-19 di Riyadh, Arab Saudi termasuk rakyat Malaysia diberi khidmat nasihat percuma, selain perlu menjawab soal selidik berkaitan sejarah penyakit sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Siti Habshah Abd Talib, 59, jururawat di King Faisal Specialist Hospital & Research Centre di Riyadh berkata penting bagi penerima vaksin memaklumkan sejarah penyakit sama ada kencing manis, darah tinggi, alahan, asma atau pernah menjalani sebarang pembedahan dalam tempoh terdekat, bagi tujuan rekod perubatan.

"Jika selepas mengambil vaksin, penerima ada mengalami komplikasi seperti sesak nafas dan sebagainya, mereka dinasihatkan segera ke hospital," katanya kepada Bernama melalui WhatsApp, baru-baru ini.

Siti Habshah berkata, tiada sebarang pantang larang dikenakan sebelum mahupun selepas mengambil vaksin itu.

Katanya, suntikan vaksin itu diberikan percuma untuk rakyat Arab Saudi termasuk kepada pekerja dan penuntut warga asing.

Dia yang juga antara rakyat Malaysia menerima vaksin Covid-19 melalui suntikan intra-mascular di bahagian lengan itu berkata, pada awalnya agak ragu-ragu jika terdapat sebarang komplikasi disebabkan faktor usia.

"Saya menerima suntikan dos pertama pada 5 Januari lalu dan saya tidak mengalami sebarang simptom pun. (Keadaan saya) seperti biasa dan boleh pergi bekerja.

"Saya mengambil dos kedua pada 19 Januari, tetapi esoknya saya demam selama sehari, kemudian beransur pulih seperti biasa dan dapat ke Makkah untuk menunaikan umrah," katanya.

Siti Habshah menasihati golongan berusia supaya mengambil vaksin Covid-19 sebagai langkah pencegahan kerana golongan itu kurang daya ketahanan badan terutama jika menghidap penyakit tiga serangkai (kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung).

Seorang lagi rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jurutera di Qatar, Yusri Manap, 55, berkata, turut ragu mengenai keberkesanan vaksin Covid-19, tetapi selepas menerima nasihat dan khidmat nasihat doktor perasaan bimbang itu hilang.

"Selepas disuntik, saya sedikit penat pada malam pertama. Tidur awal dan sedikit rasa sakit di tempat bekas suntikan sehingga hari kedua," katanya.

Dia menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech secara percuma di Mesaieed Health Centre, Qatar pada 20 Januari lalu, dan dos kedua dijadual 10 Februari ini.

Malaysia dijangka menerima bekalan fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 3:38pm
    d