mutakhir

Peguam Negara sedang rangka cadangan naikkan kompaun ingkar PKP

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Peguam Negara sedang menyediakan draf cadangan untuk meningkatkan kadar kompaun ingkar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan denda di mahkamah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan diumumkan selepas diluluskan dalam sedikit masa lagi.

"Perkara ini (draf) sedang disediakan Jabatan Peguam Negara. Insya-Allah jika diluluskan akan umumkan sama ada saya atau Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kerana ini membabitkan ordinan darurat. Tunggulah ya," katanya ketika sidang media PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) tertakluk kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan.

Katanya, ia bukan saja untuk melindungi masyarakat atau kumpulan yang dibantu tetapi juga untuk keselamatan NGO itu sendiri.

"Jika mereka gagal mematuhi SOP dan berlaku kes jangkitan, maka yang akan terbabit bukan saja masyarakat yang akan dibantu tetapi juga diri mereka sendiri," katanya.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan berdasarkan laporan yang sudah dibuat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 4:34pm
    d