mutakhir

'Kami sendiri bakar tilam, bukan KKM yang suruh'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: "Ada yang tularkan kononnya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) suruh bakar tilam di pusat jagaan ini, tetapi itu adalah maklumat tidak benar.

"Kami melakukannya atas inisiatif sendiri bagi mengelak jangkitan selain tilam sudah kotor kerana penghuni muntah dan membuang najis akibat gejala Covid-19," kata Pengurus Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih, Sazali Mohiden.

Sazali, 47, seramai 30 penghuni termasuk empat kakitangan pusat jagaan itu disahkan positif Covid-19 sejak 24 Januari lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu seorang penghuni meninggal dunia manakala dua penghuni dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan rapi.

Katanya, pusat jagaan itu mempunyai kira-kira 30 penghuni berusia antara 40 hingga 80 tahun dan 15 kakitangan termasuk tenaga pengajar.

"Saya tidak pasti bagaimana penghuni mendapat jangkitan kerana mereka tidak keluar dan hanya berulang alik ke hospital untuk menerima rawatan bagi penyakit dihidapi mereka.

"Sejak kes pertama disahkan positif Covid-19, semua disaring dan yang positif dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Rehabilitasi Cheras serta Serdang.

"Alhamdulillah, sudah ada beransur pulih dan dibenarkan pulang ke pusat jagaan ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sazali berkata, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah keselamatan mengikut nasihat KKM bagi mencegah penularan wabak itu.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan kelengkapan pakaian pelindung diri (PPE) dan tilam.

"Alhamdulillah semua keperluan itu sudah mencukupi, cuma kami memerlukan kewangan bagi menampung keperluan harian penghuni selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai pusat jagaan terbabit, beliau berkata, ia ditubuhkan sejak 2016 bagi membantu menjaga kebajikan penghuni terdiri daripada warga emas yang tidak berkemampuan dan menghidap penyakit kronik.

Katanya, pihaknya menerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang ramai bagi menampung kos pengoperasian yang mencecah RM50,000 sebulan.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang bertungkus-lumus membantu. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa semua.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia bernombor 8603160021 atau akaun Maybank Islamic Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (562384521053)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 4:35pm
    d