mutakhir

'Tolong benarkan kami beroperasi semula...'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan dirayu memberi pertimbangan sewajarnya kebenaran beroperasi bagi kedai aksesori filem penapis haba dan kedai cuci kereta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Pengarah Urusan TMK Industries dan UV Kool Tint Specialist, Mohd Fadzli Che Harun berkata, pengusaha kedai berkenaan kini bergelut untuk meneruskan kelangsungan perniagaan susulan tidak dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, mereka adalah peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian untuk membayar gaji pekerja dan komitmen operasi lain seperti sewa kedai.

"Ramai pengusaha terkesan dengan arahan tidak dibenarkan beroperasi sedangkan kami mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) selain mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Sudah pasti lebih ramai pengusaha terjejas apabila PKP 2.0 ini dilanjutkan sehingga 18 Februari depan kerana perlu melunaskan pelbagai komitmen tetap setiap bulan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Fadzli berkata, kerajaan diminta untuk memberi kelonggaran beroperasi sewajarnya kepada kedai aksesori filem penapis haba dan kedai cuci kereta untuk kembali bernafas.

Malah, katanya, tiada lagi kewujudan kluster membabitkan kedai aksesori filem penapis haba dan kedai cuci kereta setakat ini kerana pengusaha mematuhi SOP ketat kerajaan kerana mahu meneruskan kelangsungan perniagaan.

Sementara itu, pengusaha kedai aksesori filem penapis haba, Mohd Hafizee Mohd Arop berkata, arahan penutupan operasi memberi tamparan hebat kepada perniagaannya yang baru kembali bernafas.

Katanya, kelonggaran perlu diberikan kepada perniagaan kecil kerana setakat ini, segala SOP ditetapkan kerajaan dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran MITI.

"Perniagaan baru hendak kembali pulih, namun apabila tidak dibenarkan beroperasi ternyata ia tamparan hebat kepada peniaga kecil seperti kami yang bergantung kepada pendapatan harian.

"Gaji pekerja, sewa bulanan dan komitmen tetap perlu dibayar setiap bulan dan kini berdepan kesukaran jika terus tidak dibenarkan beroperasi.

"Kami hanya mahu berniaga dan pekerja mahu meneruskan hidup dan diharap kerajaan dapat membuka ruang untuk kami beroperasi semula ketika PKP 2.0 ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 6:42pm
    d