mutakhir

Majoriti warga KL dan Selangor akur SOP Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu mencapai lebih 96 peratus di semua enam daerah di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly berkata, sepanjang tempoh itu sehingga semalam, hanya 1,496 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil langkah lebih tegas dengan tidak lagi memberi amaran sebaliknya akan terus mengeluarkan kompaun jika gagal mematuhi SOP sebagai langkah membendung peningkatan kes Covid-19.

"Sebanyak 48,440 permohonan rentas negeri diterima di semua daerah dan 2,050 permohonan ditolak kerana alasan tidak kukuh," katanya.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata kadar pematuhan SOP PKP di negeri itu mencapai 93 peratus.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan semula PKP di negeri ini, sebanyak 136,059 permohonan rentas daerah dan negeri diterima dan sebanyak 129,214 permohonan diluluskan," katanya.

Tinjauan mendapati sepanjang PKP ini, pegawai kanan Bukit Aman yang turun melawat lokasi sekatan jalan raya (SJR) bukan sahaja untuk tinjauan penugasan dan operasi pematuhan SOP malah untuk melihat aspek penambahbaikan serta kebajikan anggota polis yang bertugas di lapangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah pula berkata, daerah itu turut mencapai tahap pematuhan SOP yang tinggi semasa pelaksanaan semula PKP.

"Kira-Kira 200 kompaun yang dikeluarkan adalah atas kesalahan cubaan melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah tanpa alasan yang kukuh," katanya selepas menerima sumbangan berbentuk pek makanan dan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 7:58pm
    d