mutakhir

Dua 'Kuala' dikenakan PKPD

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di dua lokaliti di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan dua di Kuala Kangsar, Perak bermula tengah malam esok sehingga 17 Februari susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti di Kuala Berang dikenakan PKPD membabitkan Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad manakala di Kuala Kangsar pula membabitkan Felda Lasah dan Kampung Besi Api.

"Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 420 ujian saringan Covid-19 di Felda Tersat dan mendapati 45 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti ini bagi memudahkan saringan secara bersasar membabitkan 583 penduduk di 198 rumah serta mengawal jangkitan dalam komuniti di felda," katanya ketika memaklumkan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tadi.

Ismail Sabri berkata, selain itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD Tapak Bina Kuarters TNB Kuala Berang selepas mendapati 62 kes positif direkodkan daripada 386 ujian saringan dilakukan.

"Di Kuala Kangsar pula, KKM melaporkan peningkatan kes Covid-19 di Felda Lasah dan Kg Besi Api.

"Sehingga 31 Januari lalu, KKM melaksanakan 71 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 35 kes positif direkodkan di kedua-dua lokaliti ini," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kedua-dua lokaliti ini untuk mengawal jangkitan dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 7:59pm
    d