mutakhir

'Tolonglah ringankan beban kami'

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini, menimbulkan kegusaran banyak pihak.

Mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan semakin runsing memikirkan beban hutang dan kos sara hidup.

Bagi pemandu teksi, Ahmad Hilmikhair Daud, 50, pendapatannya serta rakan pemandu teksi lain susut kira-kira 50 peratus, malah ada yang susut sehingga 90 peratus bagi pemandu yang tidak menggunakan sistem e-hailing.

"Jika sebelum ini, anggaran kasar yang kami peroleh antara RM200 ke RM250 sehari, namun sejak PKP, hendak dapat RM50 cukup sukar dan ada kalanya, pendapatan diterima hanya cukup untuk membayar sewa teksi.

"Kami berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan dalam bentuk subsidi dan insentif bulanan sama seperti diterima nelayan dan penoreh getah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ahmad Hilmikhair, golongan sepertinya bukan meminta subsidi selama-lamanya namun hanya mahukan insentif bulanan sepanjang PKP untuk meringankan beban.

"Jika PKP tiada, kami masih boleh 'bernafas' namun PKP dilanjutkan. Kami rayu agar kerajaan bantu ringankan beban kami," katanya.

Tidak tahu berapa lama golongan sepertinya mampu bertahan lagi, Ahmad Hilmikhair berkata, dia juga berdepan dengan tunggakan bayaran sewa teksi.

"Dianggarkan 30 peratus pemandu teksi masih menyewa dan seperti saya sendiri, perlu bayar sewa RM57 sehari.

"Memang syarikat penyewa memberi kelonggaran untuk membayar berapa yang mampu sahaja, tetapi dengan pergerakan serta tempoh masa terhad, untuk dapat gaji sehari pun memang susah," katanya yang sudah 25 tahun bekerja sebagai pemandu teksi.

Selain itu, pekerja salon, Siti Maisarah Mahyudin, 30, berkata, dia kini tidak lagi bekerja susulan arahan kerajaan yang tidak membenarkan salon dibuka sepanjang PKP.

"Ketika PKP tahun lalu, majikan ada memberi gaji asas dan walaupun sikit, namun saya bersyukur sebab dapat gunakannya untuk membeli barangan keperluan anak dan harian.

"Namun, bila PKP 2.0 dilaksanakan, majikan saya tidak dapat membayar gaji. Saya kini membantu ibu berniaga. Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan membuka operasi salon supaya golongan seperti saya dapat bekerja seperti biasa," katanya.

Turut berkongsi kerisauan ialah Siti Munirah Mashhudi, 35, yang menawarkan perkhidmatan sebagai perancang perkahwinan.

Katanya, akibat PKP, pendapatannya terjejas hampir 100 peratus.

Siti Munirah berkata, kini dia harus bergantung pada simpanan.

"PKP cukup memberi kesan kepada pengusaha seperti saya kerana bakal pengantin tidak menggunakan khidmat kami memandangkan hanya hanya majlis ringkas seperti akad nikah saja dibenarkan.

"Apabila PKP dilanjutkan, saya cuba berniaga dengan menggubah dan menjual hamper secara dalam talian," katanya.

Siti Munirah berharap Covid-19 segera berakhir seterusnya golongan terkesan dapat berniaga semula.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 4, 2021 @ 5:03pm
    d