mutakhir

Penamatan PSU tidak naikkan kadar pengangguran

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) dijangka tidak akan menyumbang kepada peningkatan pemberhentian kerja atau kadar pengangguran.

Dapatan itu hasil kajian dilakukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) membabitkan 469 syarikat yang menerima PSU.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, didapati hanya 15 peratus daripada responden merancang untuk mengurangkan pekerja mereka, 29 peratus bercadang meningkatkan jumlah pekerja, manakala 56 peratus cenderung untuk mengekalkan pekerja yang sedia ada.

"Berdasarkan penemuan ini, dapat dirumuskan penamatan PSU dijangka tidak akan meningkatkan kadar pemberhentian pekerjaan dan pengangguran.

"Tinjauan ringkas yang dijalankan secara dalam talian ini bertujuan menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan. PSU bermula pada 30 Oktober dan berakhir pada 22 November tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PSU dirangka kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan semasa berlakunya pandemik Covid-19, dan ia dilancarkan pada 1 April 2020 merangkumi bantuan kewangan selama enam bulan dan bantuan dilanjutkan selama tiga bulan lagi di bawah PSU 2.0.

Mohammed Azman berkata, dalam tempoh itu lebih 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan mendapat manfaat daripada kedua-dua program ini sehingga 31 Disember lalu.

"Penamatan PSU membawa kepada perdebatan umum mengenai sejauh mana kesannya kepada pekerjaan dan seterusnya implikasi terhadap kadar pengangguran.

"Hasil tinjauan ini juga menyokong pelaksanaan PSU bersasar pada tahun ini seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021.

"Terdapat syarikat dalam beberapa sektor yang menunjukkan pemulihan selepas kerajaan membuka semula aktiviti ekonomi sejak Jun 2020 dan disokong dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi," katanya.

Namun katanya, terdapat syarikat di sektor seperti pelancongan masih memerlukan bantuan PSU kerana proses pemulihan yang dijangka mengambil masa lebih lama.

"Bagaimanapun, penemuan tinjauan ini tidak mengambil kira kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat di Lembah Klang yang bermula 14 Oktober tahun lalu dan pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula, 13 Januari lalu, yang dijangka memberi impak sederhana kepada pemulihan ekonomi dan berpotensi beri kesan kepada pekerjaan," katanya.

Perkeso menerusi Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada maklumat pasaran buruh di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 10:49am
    d