mutakhir

Masih ramai yang ingkar berbasikal secara berkumpulan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan kompaun kepada mereka yang melanggar arahan berbasikal secara berkumpulan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP aktiviti berbasikal.

Menurutnya, aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan tidak melebihi 10 kilometer dari tempat tinggal (kediaman).

"Kayuhan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan.

"Orang ramai yang didapati ingkar dan tidak mematuhi arahan ini khususnya yang berbasikal di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur akan diambil tindakan kompaun di atas ketidakpatuhan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, ini kerana dari pemerhatian pihak polis setakat ini, masih terdapat pengingkar dikesan mengayuh basikal secara berkumpulan di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku AbdulRahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa jua yang melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangidi talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 1:10pm
    d