mutakhir

Warga emas diperlukan jadi sukarelawan vaksin Covid-19

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru warga emas berusia 60 tahun ke atas tampil sebagai sukarelawan bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19.

KKM menerusi ciapan di Twitter rasmi berkata, kajian itu bagi menguji keberkesanan dan keselamatan vaksin khusus untuk warga emas.

"Justeru, seramai 315 hingga 450 warga emas diperlukan untuk menyertai kajian ini sebagai sukarelawan.

"Kami mengalu-alukan sukarelawan warga emas yang berminat untuk menyumbang dalam pembangunan vaksin Covid-19," katanya dalam ciapan itu hari ini.

Katanya, warga emas yang berminat boleh menghubungi sembilan hospital yang sudah ditetapkan KKM.

"Hospital berkenaan adalah Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultan Abdul Halim.

"Kajian ini kerjasama antara KKM dan Institut Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS)," katanya.

Menerusi bebenang sama, KKM turut memaklumkan, seramai 8,162 individu berusia 18 tahun ke atas sudah menghubungi sembilan hospital untuk menjadi sukarelawan dalam percubaan klinikal itu setakat kelmarin.

"Seramai 1,512 sukarelawan atau 50 peratus bersetuju menyertai kajian ini manakala 38 peratus sukarelawan sudah menerima dos pertama vaksin kajian atau plasebo," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 11, 2021 @ 3:12pm
    d