mutakhir

Kelab golf penuh sampai minggu depan [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kebenaran beberapa aktiviti sukan boleh dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaat sepenuhnya masyarakat sempena cuti umum Tahun Baharu Cina, hari ini.

Golf, gimnasium, memancing dan berbasikal antara aktiviti sukan sudah dibenarkan kerajaan, mulai hari ini.

Beberapa kelab golf di Lembah Klang memaklumkan tempahan sehingga minggu depan sudah penuh.

Menurut kakitangan kelab golf berkenaan, tempahan mula penuh sebaik pengumuman dibuat kerajaan, petang semalam.

"Kami perlu mengehadkan pemain bagi setiap slot kerana jumlah buggy terhad memandangkan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan hanya seorang pemain untuk setiap buggy.

"Malah slot perlawanan sudah penuh sehingga minggu depan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, pemain dinasihatkan untuk membuat tempahan awal slot untuk mengelak kesesakan di kaunter jika datang terus ke kelab.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran beberapa aktiviti sukan tanpa sentuhan bermula hari ini.

Namun, SOP ketat perlu dipatuhi pemain dan pengurusan pusat aktiviti sukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Sejak PKP 2.0 dilaksanakan, kebanyakan aktiviti sukan tidak dibenarkan kecuali joging dan berbasikal di kawasan kejiranan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 3:30pm
    d