mutakhir

680 individu ditahan ingkar PKP

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 680 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 610 individu dikompaun manakala 59 individu direman dan 11 dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal (146), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (117), aktiviti pusat hiburan (106), tidak memakai pelitup muka (86) dan gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (64).

"Kesalahan lain adalah keluar rumah tanpa alasan munasabah (36), membawa penumpang berlebihan (25), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (23) dan lain-lain (77)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 68,385 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, sejak semalam,

Berhubung Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 21 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas 10 kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 45 bot dan kapal asing di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 568 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara sejak semalam.

"Seramai 9,138 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan daripada jumlah itu, 120 didapati positif Covid-19.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 362,067 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 16,520 majikan.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 7,016 telah disahkan positif Covid-19, manakala 355,051 lagi adalah negatif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 5:38pm
    d