mutakhir

PKPD Penjara Sungai Udang dilanjutkan, PKPD di Perak, Sarawak tamat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Sungai Udang di Melaka Tengah, Melaka dilanjutkan, manakala PKPD di kuarters kakitangannya dan tiga kawasan lain ditamatkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di penjara itu yang dijadualkan tamat pada esok dilanjutkan bermula 17 Februari sehingga 2 Mac.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melaksanakan 1,234 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 331 kes positif direkodkan.

Katanya, KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Bagaimanapun, penularan kes positif Covid-19 itu tidak membabitkan kakitangan dan ahli keluarga yang tinggal di kuarters.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang kecuali yang tinggal di Kuarters Kakitangan dan PKRC Penjara Sungai Udang ditamatkan mulai esok seperti dijadualkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD di Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak; Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak; dan Peringkat 2 serta sebahagian Peringkat 1 FELDA Bersia, Hulu Perak, Perak ditamatkan.

Beliau berkata, KKM mengesahkan baki kes positif Covid-19 di Felcra Nasaruddin menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

"Sebanyak 491 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu, 20 kes positif direkodkan.

"Manakala bagi kawasan PKPD Kampung Sungai Ud pula, KKM melaporkan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan dan kes terakhir direkodkan pada 13 Februari lalu iaitu sebanyak dua kes," katanya.

Selain itu, Beliau berkata, KKM mengesahkan tiada kes positif dikesan selepas PKPD dilaksanakan di sebahagian Peringkat 1 dan Peringkat 2 Felda Bersia, 3 Februari lalu.

Katanya, KKM melaksanakan 409 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 29 kes direkodkan di keseluruhan Felda Bersia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 6:17pm
    d