mutakhir

SJR beroperasi walaupun sekatan pergerakan 10km dibatalkan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 550 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara masih dikekalkan walaupun sekatan pergerakan melebihi 10 kilometer dibatalkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada masa ini 276 SJR didirikan di kawasan persempadanan daerah di seluruh negara manakala 274 SJR lagi dibuat di lokasi persempadanan negeri dan Operasi Benteng (Op Benteng).

"Meskipun orang ramai bebas bergerak lebih 10 kilometer, mereka yang tidak mempunyai kebenaran untuk merentas daerah atau negeri hanya dibenarkan bergerak dalam daerah sahaja.

"Polis masih meneruskan pemantauan terhadap pematuhan ini selain pergerakan masih menetapkan dua individu sahaja dalam satu kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Acryl Sani berkata, penugasan penguatkuasaan polis bukan untuk menyusahkan orang ramai, tetapi bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan seterusnya menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya mengenai perkembangan Covid-19 berkata, kerajaan membenarkan orang ramai melakukan pergerakan lebih 10 kilometer radius dari rumah masing-masing, tetapi mengekalkan larangan rentas daerah dan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 12:02am
    d