mutakhir

Kontrak vaksin Covid-19 termasuk penambahbaikan terhadap varian baharu

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Terma kontrak perolehan vaksin Covid-19 antara Malaysia dan Pfizer-BioNTech turut merangkumi sebarang penambahbaikan terhadap vaksin keluaran syarikat berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan terdapat varian dan strain baharu virus Covid-19 yang mungkin menjejaskan kualiti dan keberkesanan vaksin berkenaan.

"Dalam kontrak sedia ada dengan Pfizer, memang terdapat klausa berkaitan varian virus.

"Ketika rundingan, saya bangkitkan perihal klausa penambahbaikan jika ada varian baharu," katanya dalam sidang media secara maya mengenai penyelarasan pasukan petugas khas imunisasi Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, kontrak sedia ada akan ditambah baik selari jenis vaksin baharu dari Pfizer berdasarkan mutasi dan varian virus.

"Ia sama dengan kontrak vaksin lain. Kita memperoleh kontrak yang membolehkan Malaysia mendapat vaksin diperbaharui berdasarkan varian dan mutasi," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan menerusi Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin menetapkan dasar Satu Vaksin, Satu Vaksin Simpanan bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, dasar berkenaan selari dengan saranan pengeluar vaksin yang menetapkan tempoh 21 hari bagi suntikan vaksin dos kedua.

"Kita tidak guna pendekatan seperti di negara luar, contohnya United Kingdom (UK).

"Mereka lanjutkan tempoh terima suntikan dos kedua AstraZeneca dari sebulan sehingga sekarang antara sembilan hingga 12 minggu.

"Ini kerana pendekatan di UK adalah untuk beri seramai mungkin sekurang-kurangnya satu dos, tetapi di Malaysia kita tak mengambil pendekatan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 7:08pm
    d