mutakhir

Dr Roland beri keterangan di IPD Sepang

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Seorang doktor di klinik kecantikan di ibu negara, Dr Roland Victor memberi keterangan dua jam 30 minit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berhubung video komennya mengenai vaksin Covid-19 yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau yang sebelum itu dilihat tiba di IPD Sepang pada 2.30 petang dengan ditemani peguamnya dari firma Sudesh & Alicia.

Dr Roland berkata, beliau memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan berkenaan.

Beliau yang juga pengasas klinik kecantikan itu berkata, setakat ini polis tidak memaklumkan sama ada beliau akan dipanggil semula untuk memberi keterangan atau sebaliknya, namun bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil.

Menurutnya, siasatan polis berhubung video dimuatnaik di Facebook rasmi kliniknya pada 7 Februari lalu berkenaan perkongsian pandangannya mengenai vaksin Covid-19.

"Polis memaklumkan menerima satu aduan berkenaan video tular itu pada 11 Februari, namun enggan mendedahkan identiti pihak membuat laporan.

"Video berdurasi 56 minit yang dikongsi dalam Facebook itu hanya menjelaskan risiko dihadapi pengguna dan bukannya untuk menakutkan-nakutkan mereka.

"Semalam polis menghubungi saya pada 1 tengah hari untuk hadir ke IPD Sepang bagi memberi keterangan berhubung video tular itu.

"Sebagai doktor perubatan saya hanya memberi pandangan mengenai pengambilan serta keberkesanan vaksin itu terhadap orang ramai," katanya ketika ditemui di IPD Sepang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan pengusaha klinik itu hadir ke IPD Sepang bagi membantu memberi keterangan.

Katanya, setakat ini hanya satu laporan diterima polis berhubung kandungan video itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 10:08pm
    d