mutakhir

MQA beri jaminan kualiti pendidikan tidak terjejas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memberi jaminan kualiti pendidikan tinggi negara tidak akan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya sentiasa memastikan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan memberi keutamaan kepada kualiti pendidikan tanpa menjejaskan keselamatan dan kesihatan penuntut.

Menurutnya, MQA menyediakan garis panduan kepada IPT dalam menyampaikan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada menggunakan kaedah penyampaian nota atau hibrid.

"Biar apapun mekanisme digunakan dalam penyampaian pengajaran, kita akan memastikan kualiti pendidikan terus dititikberatkan.

"Sekiranya, penuntut tidak mempunyai akses Internet yang baik, mungkin kaedah lain boleh digunakan termasuk menghantar nota menerusi 'thumbdrive' yang pernah dilakukan satu ketika dulu sebelum kewujudan Internet.

"Bagaimanapun, sekiranya IPT mempunyai kemudahan canggih, bolehlah melakukan pengajaran dan pembelajaran menggunakan 'video mobile' seperti dilakukan di Universiti Harvard," katanya.

Beliau berkata, penuntut perlu melihat pandemik itu daripada sudut positif kerana mampu meningkatkan kemahiran dan daya saing golongan itu.

Menurutnya, selepas ini kebanyakan IPT dijangka akan meneruskan kaedah pembelajaran hibrid kerana ia memberi kelebihan dalam aspek meningkatkan kualiti pelajar terutama dalam aspek kepemimpinan, kerja kumpulan dan pemikiran kritis.

"Jika sebelum ini mereka hanya mendengar syarahan, menghafal dan menterjemahkannya ketika peperiksaan, kini pelajar lebih banyak perlu mencari sendiri maklumat yang dibincangkan.

"Kami kini dalam usaha memperkukuh jalinan MQA dengan agensi pengiktiraf pendidikan antarabangsa.

"Usaha ini bagi memudahkan penuntut Malaysia diterima untuk bekerja di mana-mana sahaja di serata dunia selepas kualiti pengajian mereka ikuti diiktiraf semua pihak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 11:23pm
    d