mutakhir

Pengusaha bas ekspres ibarat telur di hujung tanduk

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Persatuan Pemandu dan Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) merayu supaya bas ekspres di Sabah dibenarkan beroperasi membawa penumpang yang ada kebenaran untuk merentas daerah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya, Datuk Donald Hanafi, berkata pihaknya akur dengan larangan merentas daerah yang masih dikuatkuasakan, namun berharap dibenarkan beroperasi secara terhad mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan jadual yang ditetapkan.

"Apa yang kami mohon hanyalah kebenaran beroperasi dengan membawa penumpang yang sudah mendapat kebenaran untuk merentas daerah atas sebab kecemasan atau kebajikan.

"Kami bukan meminta aktiviti merentas daerah dibuka kepada umum. Jadual perjalanan bas secara penggiliran yang minimum juga sudah dicadangkan," katanya dalam kenyataan media mengenai situasi dihadapi pengusaha bas ekspres di Sabah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya pihaknya juga merayu supaya dibawa berbincang bersama kerajaan negeri mengenai usaha membantu pengusaha bas ekspres di negeri ini yang hilang sumber pendapatan sejak PKPB sebelum ini lagi.

Katanya, pihaknya juga mahu memberikan cadangan mengenai pelan operasi dengan SOP ketat bagi mengurangkan kerugian ditanggung pengusaha.

"Kebanyakan pengusaha sudah ibarat telur di hujung tanduk. Kami sudah berusaha sedaya upaya memastikan kelangsungan pendapatan kami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil perhatian masalah kami ini.

"Mencegah Covid-19 adalah satu keperluan, namun ekonomi dan nasib kami sebagai pengusaha bas dan pemandu juga perlu diberi perhatian. Kami bimbang dengan keadaan ekonomi kami sekarang yang tidak begitu mengizinkan.

"Begitu juga dengan nasib pemandu bas yang dibayar gaji secara 'trip' yang kini terpaksa mengikat perut akibat hilang sumber pendapatan. Oleh itu, kami memohon kerajaan negeri dapat memberi penjelasan dan membawa kami berbincang untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Selain itu, katanya pengusaha bas ekspres juga meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadikan Terminal Bas Bandaraya Utara di Inanam, dekat sini sebagai hab sementara untuk operasi penghantaran barangan.

Katanya, ia bagi memudahkan pengusaha penghantaran barang termasuk yang dibuat oleh syarikat bas ekspres untuk mengurus proses penerimaan dan penyerahan barangan kepada pelanggan.

"Bukankah lebih baik sekiranya DBKK bersikap proaktif dengan menjadikan sementara terminal bas ekspres ini sebagai hab penghantaran barang dalam tempoh PKPB ini dengan menetapkan beberapa SOP ketat.

"Dengan keluasan terminal sudah pasti masalah penjarakan dapat diatasi jika dibandingkan kaunter kiriman barang yang dibuka pengusaha bas ekspres di kaki lima bersebelahan terminal.

"Ini bukan saja menimbulkan kesesakan, malah masalah penjarakan juga sukar diatasi disebabkan ruang yang sempit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 3:47pm
    d