mutakhir

Lantik 'mata-mata' perkasakan pematuhan SOP

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Melantik 'mata-mata' untuk memperkasakan lagi penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di kawasan tumpuan ramai.

Itu cadangan pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun bagi memastikan orang ramai tidak leka dengan beberapa kelonggaran diberikan kerajaan ketika ini.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, penguatkuasaan perlu diperketatkan di kawasan tumpuan ramai bukan lagi di lapangan sekatan jalan raya (SJR) bagi memastikan pematuhan SOP.

"Apabila kerajaan memberikan beberapa kelonggaran, sasaran kita bukan lagi SJR tetapi penguatkuasaan perlu kuat di lokasi tumpuan ramai seperti di pasar raya, pasar malam dan sebagainya.

"Bagi saya, bukan setakat polis saja boleh saman orang, tetapi boleh lantik badan khas contoh seperti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pegawai perubatan atau siapa saja yang bertauliah membuat penguatkuasaan.

"Mereka datang menyamar pakai pakaian biasa di kawasan tumpuan ramai mahupun di tempat kerja, ambil gambar dan saman.

"Cara ini akan lebih menakutkan orang ramai kerana kita sendiri tidak tahu siapa akan perhatikan dan saman kalau tidak mematuhi SOP," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, semua pihak perlu menjadikan peningkatan kes penularan selepas kerajaan melonggarkan beberapa sekatan pada Disember lalu sebagai pengajaran.

"Sudah tiba masanya kita hidup dengan Covid-19. Kita boleh teruskan rutin harian tetapi sikap perlu diubah dengan mematuhi SOP ditetapkan termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dengan betul dan nasihat disarankan kerajaan bertujuan bagi melindungi diri sendiri dan orang sekeliling.

"Apabila kelonggaran diberikan tidak bermakna sudah 'merdeka' atau bebas melakukan sesuka hati, sebaliknya jadikan ia sebagai satu keistimewaan namun jangan ambil kesempatan dan leka.

"Jadikan kesilapan Disember lalu sebagai pengajaran jika tidak patuhi SOP, itulah padah akan kita terima (kes naik mendadak)," katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran seperti penumpang dibenarkan menaiki mengikut kapasiti kenderaan, makan lebih dua orang dengan penjarakan satu meter di seluruh negara selain pembukaan beberapa pusat pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 7:43pm
    d