mutakhir

Masih ada individu degil rentas negeri ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 461 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 430 individu dikompaun manakala 31 individu direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan ialah rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran sebanyak 135 kes dan tidak mematuhi penjarakan fizikal sebanyak 128 kes.

"Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (72), tidak memakai pelitup muka (67), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (42)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 70,682 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan tiga tekong ditahan selain lapan kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

"Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut mengesan 119 bot dan kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 896 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

"Sejak 24 Julai 2020, seramai 126,612 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 76 hotel serta 12 institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Seramai 6,555 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 119,413 orang dibenarkan pulang manakala 644 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Tambah beliau, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut melakukan 19 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 673 pemantauan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 6:27pm
    d