mutakhir

Tidak sabar kembali mengajar di sekolah - guru

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Golongan pendidik menganggap pembukaan semula sekolah sebagai perkembangan yang menggembirakan, selepas kira-kira setahun hanya mengajar secara maya.

Guru di Perlis, Siti Faridah Matt, 35, berkata, sesi persekolahan secara bersemuka bermula dengan murid prasekolah, tahun satu dan dua pada 1 Mac ini adalah keputusan tepat oleh kerajaan.

"Saya amat menyokong keputusan membenarkan murid tahun satu dan dua terlebih dahulu bersekolah secara bersemuka.

"Usia mereka yang masih kecil lebih memerlukan bimbingan guru dalam proses pembelajaran berbanding tahap yang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Siti Faridah pernah tular sejak April tahun lalu kerana menggunakan teknik layar hijau untuk menerangkan lebih jelas kepada pelajarnya mengenai subjek Sains dan Kimia.

Mengakui kekok dengan pelbagai kaedah pengajaran baharu ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun berkat kesungguhannya, Siti Faridah berjaya menempuh cabaran itu.

Kini, Siti Faridah memiliki studio mini sendiri di rumah khusus untuk kelas PdPR bagi pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Perlis.

"Mahir dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) adalah satu kelebihan tetapi impak daripada pengajaran dan pembelajaran pelajar masih bergantung kepada isi kandungan pengajaran guru itu sendiri.

"Tidak dinafikan masih ada cabaran ketika PdPR terutama menyediakan bahan yang berkualiti agar pembelajaran online membolehkan pelajar berfikir dan bukannya setakat mendengar," katanya.

Sementara itu, Noor Aniza Che Soh, 40, yang berkhidmat di Kemaman, Terengganu berkata, dia percaya murid dan pelajar gembira untuk kembali menjalani pembelajaran di sekolah.

"Saya juga mempunyai empat anak bersekolah, yang mana mereka begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka. Saya yakin anak-anak di luar sana juga mempunyai perasaan yang sama.

"Walaupun pendemik Covid-19 belum berakhir dan sedikit sebanyak merisaukan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah, saya sangat yakin, mereka juga sebenarnya ingin melihat anak mereka menerima pendidikan yang sempurna," katanya.

Noor Aniza pernah tular di media sosial sebelum ini kerana sanggup meredah hujan menghantar modul pembelajaran kepada 38 pelajarnya.

Katanya, sepanjang PdPR ini, dia masih menghantar dan mengambil modul Bahasa Melayu ke rumah pelajarnya, namun dilakukan sekali seminggu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 5:17pm
    d