mutakhir

Pulau Pinang terima 16,000 dos vaksin

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba ke negeri ini menerusi penerbangan Cathay Pacific di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, pada 5.30 petang tadi.

Ketibaan vaksin itu disambut Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap ketibaan vaksin berkenaan dapat memulihkan keadaan pandemik Covid-19.

"Kita sudah patuhi beberapa fasa penting dalam melawan Covid-19 dan diharap usaha ini akan berjaya.

"Maklumat mengenai vaksinasi ini akan disampaikan dari semasa ke semasa dan penduduk perlu menyokong program ini supaya berjaya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, sebaik kumpulan vaksin tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi, ia dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

Di Pulau Pinang, seramai 30,000 petugas barisan hadapan dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama secara berperingkat bermula minggu depan dan vaksin ditempatkan di dua hospital negeri ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, beliau akan menjadi individu pertama yang akan menerima suntikan berkenaan bagi menunjukkan sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan.

"Saya sebagai pemimpin negeri, (dengan) rela disuntik vaksin yang dijangka bermula pada minggu akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 8:46pm
    d