mutakhir

'Ammar teruja lihat uniform polis, tak sempat menyarungnya' [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: "Disebabkan arwah Ammar begitu minat dengan profesion kepolisian, saya dan suami buat sehabis baik bagi menunaikan hajatnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," kata Nur Syazwani Mazlan, 30.

Dia adalah ibu kepada Allahyarham Mohammad Ammar Dhani Mohamad Azuan, kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat leukemia di sini, petang semalam.

Terdahulu, kisah Mohammad Ammar tular apabila kanak-kanak berusia tujuh tahun itu berhajat untuk menaiki kereta peronda polis sebelum impiannya direalisasikan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada 22 Januari lalu.

Nur Syazwani berkata, anak lelakinya itu amat meminati bidang kepolisian hingga mempunyai pelbagai koleksi permainan antaranya kenderaan polis serta kerap menonton Youtube yang memaparkan cerita mengenai pasukan keselamatan berkenaan.

"Saya tidak tahu macam mana Ammar boleh minat dengan bidang itu tetapi mungkin disebabkan personalitinya yang kuat dan tidak mudah mengalah dengan penyakit dihadapinya walaupun masih kecil.

"Lama-kelamaan Ammar menyuarakan hasrat untuk naik kereta polis dan syukur sangat impiannya itu tercapai bahkan selepas program itu, keluarga saya kerap dikunjungi anggota polis yang mengambil berat serta memberikannya hadiah permainan polis.

"Selepas itu, saya minta tolong kawan kepada ibu saudara untuk menjahitkan uniform polis dan sempat tunjuk kepada Ammar.

"Dia sangat teruja melihatnya walaupun keadaannya sudah tenat," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Bakar Kapor, Penaga di sini, hari ini.

Menurutnya, Ammar tidak sempat menyarung uniform terbabit tetapi dia dan suami tetap gembira apabila dapat memenuhi hajat serta impian anaknya.

"Kini uniform, permainan polis, gambar dan video Ammar menjadi pengubat rindu saya dan suami kepadanya.

"Sebelum Ammar 'pergi', dia sempat melambai pada saya dan bertanyakan abahnya tetapi siapa sangka itu adalah detiknya bakal meninggalkan kami dan saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Bapa Mohammad Ammar, Mohammad Azuan Abdul Mutalib, 33, pula berkata, dia dan isteri berterima kasih kepada pihak polis yang merealisasikan impian anak sulungnya itu.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menunaikan impian arwah anak saya yang mana jasa mereka tidak mampu saya dan isteri balas," katanya.

Ammar meninggal dunia pada 6 petang semalam selepas lima tahun bertarung dengan penyakit leukemia yang dihadapinya.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bakar Kapor pada 10 pagi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor bersama anggotanya turut hadir ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kanak-kanak itu.

Berita berkaitan

Mohamad Ammar Dhani sudah tiada

Impian penghidap leukemia tahap empat naik MPV polis tercapai [METROTV]

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 4:34pm
d