mutakhir

Balai Polis Ampang gantung urusan kepada orang awam

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Orang ramai yang ingin berurusan di Balai Polis Ampang dinasihatkan ke balai berlainan susulan penggantungan urusan kepada orang awam bermula 23 Februari hingga 1 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tindakan berkenaan diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Difahamkan setakat ini 11 anggota polis di balai terbabit dikesan positif Covid-19 dan sejumlah anggota lain diarahkan untuk kuarantin kendiri.

"Segala urusan membuat laporan polis dan permohonan rentas daerah atau negeri boleh dibuat di balai polis lain yang berhampiran.

"Sama-sama kita doakan petugas barisan hadapan yang positif Covid-19 diberi kesihatan yang baik dan segera sembuh," katanya.

Orang ramai boleh berurusan di balai polis yang lain antaranya Balai Polis Hulu Klang, Balai Polis Malawati, Balai Polis Pandan Indah, Balai Polis Ukay Perdana dan Balai Polis Pandan Perdana.

Terdahulu, tular satu surat berhubung penutupan balai berkenaan kepada orang awam bermula hari ini susulan terdapat kes jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 12:37pm
    d