mutakhir

Hotel dua bintang ke bawah sesuai jadi penempatan pekerja

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) melihat cadangan menjadikan hotel bertaraf dua bintang ke bawah sebagai penempatan pekerja sebagai antara langkah boleh digunapakai bagi menangani isu peningkatan jangkitan Covid-19 membabitkan kluster tempat kerja.

Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff berkata, pihaknya sedia maklum 80 peratus kes jangkitan baru-baru ini banyak membabitkan kluster tempat kerja terutama di kilang dan tapak binaan.

Bagaimanapun, katanya, PKBM melihat isu perumahan pekerja di tapak binaan menjadi isu paling ketara.

"Beberapa cadangan termasuk pandangan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu diambil secara serius iaitu hotel bertaraf satu dan dua bintang dengan bayaran RM220 setiap pekerja sebulan dapat diguna pakai bagi penyelesaian jangka pendek.

"Ini kerana setiap bilik boleh menempatkan dua hingga empat orang dengan tahap kebersihan jauh lebih baik daripada rumah kongsi di tapak binaan.

"Di samping itu, banyak bangunan perumahan boleh dijadikan penempatan sementara dan dapat mengelakkan pemilik atau majikan dikenakan kompaun mengikut Akta 446 di bawah Kementerian Sumber Manusia apabila penempatan pekerja diuruskan sendiri pekerja mengikut spesifikasi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk menghentikan operasi di kilang atau tapak binaan kerana ia sektor keperluan yang mampu menjana ekonomi.

Katanya, sektor penting itu menjadi pemangkin dengan kesan pengganda sangat tinggi bagi pelbagai industri termasuk bahan binaan, pengangkutan, khidmat perunding dan lain-lain lagi membabitkan perkhidmatan berkaitan pembinaan.

"Sekiranya sektor pembinaan ditutup maka kontraktor akan mengalami kerugian sangat teruk dan kelewatan di tapak binaan akan menjadi isu utama dan kontraktor akan dikenanakan denda kelewatan siap kerja atau LAD serta boleh disenarai hitamkan.

"Bagi mengatasi permasalahan ini, kami sudah mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), KKM, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pemain industri untuk mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) ketat," katanya.

Azman berkata, pihaknya turut mengharapkan pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), CIDB dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dapat membantu menyelesaikan segera masalah ini demi membendung penularan Covid-19 daripada terus merebak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 5:12pm
    d